4 Simpanan Penting Untuk Anak

Sikit-sikit, lama jadi bukit. Pepatah yang sinonim dengan amalan menyimpan untuk masa depan. Selain pentingnya mempunyai simpanan untuk diri kita, penting juga untuk membuat simpanan untuk anak-anak kita. Berikut adalah 4 simpanan yang penting untuk perbelanjaan besar melibatkan anak:

 

1. Simpanan untuk Kelahiran Anak

 

Melahirkan anak memerlukan kos yang besar, Ia termasuklah kos beranak di hospital serta kos barang-barang keperluan bayi dan ibu seperti carseat dan sebagainya. Kita tahu bahawa tempoh ibu mengandung ialah 9 bulan.

 

Jadi, langkah yang bijak ialah menggunakan tempoh masa tersebut untuk membuat simpanan perbelanjaannya. Katalah kita ingin memilih Maternity Package 4 Bedded KPJ yang berjumlah RM2,500 dan anggaran barang-barang keperluan bayi dan ibu pula ialah ±RM1,000:

 

Simpanan untuk bayi

 

Jadi, simpanan untuk kelahiran anak = (RM2,500 + RM1,000) / 9 bulan = ±RM389 sebulan perlu disimpan

 

Sudah tentu jika ingin kos yang lebih rendah boleh pilih hospital kerajaan iaitu RM10 untuk bersalin normal dan wad kelas 3 (tidak termasuk caj ujian makmal, x-ray, pembedahan dan bayaran prosedur klinikal yang dijalankan).

 

2. Simpanan Duit Hadiah Anak

 

Setelah dilahirkan pula, biasanya anak kita akan mendapat duit hadiah pemberian dari ahli keluarga dan rakan taulan kita. Kemudian, setiap kali raya, mereka akan mendapat duit raya pula. Setelah itu, apakah yang dilakukan dengan jumlah duit tersebut? Adakah habis dibelanjakan oleh kita atau anak kita?

 

Simpanan untuk anak - tabung haji 2

 

Langkah yang baik ialah mula membuka akaun simpanan untuk bayi kita sejak lahir dan menyimpan segala duit hadiahnya di sana. Akaun yang baik ialah tabung haji yang purata pulangannya 6%.

 

Katakan jumlah duit hadiah yang anak kita terima ialah RM300 setiap tahun dan kesemuanya disimpan. Menggunakan TVM Calculator, kita boleh buat perkiraan berapa tempoh yang diperlukan untuk anak kita mencapai syarat baki minimum RM1,300 untuk boleh daftar haji iaitu ±4 tahun:

 

Simpanan untuk anak - tabung haji

 

Setelah mendaftar haji, simpanan tersebut diteruskan lagi agar jumlah akhirnya menjadi lebih besar. Boleh juga laburkannya di unit amanah yang mempunyai track record pulangan tinggi. Dengan simpanan permulaan RM1,000 dan seterusnya RM300 selama 10 tahun, ianya dapat menjana ±RM3,100 lebih banyak dengan anggaran purata pulangannya ±13% (bergantung kepada portfolio):

 

Simpanan untuk anak - duit hadiah

 

Ini untuk contoh menyimpan RM300 setahun. Jika jumlahnya lebih tinggi, jumlah akhirnya juga akan menjadi lebih besar. Jadi, boleh tunjukkan hasilnya kepada anak kita agar mereka nampak dan faham kebaikan menabung dan melabur di instrumen yang memberi pulangan ini.

 

3. Simpanan Pendidikan Anak

 

Sudah tentu kita mengimpikan anak kita untuk mendapat pendidikan yang baik. Biasanya hingga institut pengajian tinggi yang kosnya juga tinggi. Namun, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada biasiswa atau pinjaman pendidikan sahaja. Kerana ianya belum pasti dan sebaiknya juga mengelakkan ia menjadi hutang kepada anak kita kelak. Untuk topik ini, kami telah kupas jumlah kos dan tipsnya di post Strategi Pinjaman Pendidikan Percuma@Diskaun.

 

4. Simpanan Perkahwinan Anak

 

Sama seperti konsep simpanan pendidikan anak, boleh aplikasikan juga untuk kos bajet perkahwinan mereka. Ianya juga boleh mengelakkan kita atau anak kita terbeban atau lebih parah terpaksa berhutang dengan bersedia awal-awal lagi.

 

Katakan anggaran umur anak kita berkahwin ialah 25 tahun. Kos kenduri kahwin boleh rujuk mana-mana pakej perkahwinan pilihan kita, contohnya NC Caterer & Canopy, Pakej Perkahwinan Termasuk Dewan ialah RM19,900. Pakej Tunang & Nikah ialah masing-masing RM2,500. Jadi anggaran jumlahnya RM19,900 + RM2,500 + RM2,500 = RM24,900. Terpulang kepada kita untuk tetapkan sendiri jumlah tersebut. Jadi boleh mengetahui berapa simpanan yang perlu dibuat. Boleh guna Savings Analysis Calculator & gantikan ‘Retirement’ dengan ‘Perkahwinan Anak’:

 

 

Jadi, dengan anggaran pulangan ±10% setahun seperti unit amanah, kita perlu menyimpan ±RM22 sebulan untuk mencapai matlamat tersebut. Kemudian semaklah dari masa ke semasa kos tersebut untuk pastikan jika terdapat kenaikan harga agar kita boleh kemaskini pengiraannya.

===

Semua pengiraan di atas boleh diubah jumlahnya dan tempat simpanannnya mengikut citarasa kita masing-masing. Setelah kita tahu berapa jumlah yang perlu disimpan, kita boleh rancangnya dengan lebih baik untuk masa depan anak kita.

 

Ada simpanan anak lain yang kami terlepas pandang dan ingin dikongsikan? Boleh tambahkan di bahagian komen di bawah. Jika berminat dengan lebih lanjut untuk membuat simpanan anak melalui unit amanah seperti di atas, boleh isi Analisis Profil Risiko & Proposal Portfolio Pelaburan ini.