6 Tips Membuat Pelaburan Unit Amanah

Terdapat banyak jenis pelaburan dan menurut Robert Kiyosaki, 4 kelas aset pelaburan yang utama adalah hartanah, perniagaan, komoditi dan kertas. Setiap kelas aset pula terbahagi kepada banyak pecahan-pecahannya. Contohnya dalam kelas aset kertas ada saham dan juga unit amanah. Jadi kali ini kami kongsikan 6 tips membuat pelaburan unit trust ini:

 

1.  Fahami Pelaburan Unit Amanah

 

Tips pertama sudah tentulah mengetahui apa itu pelaburan unit trust. Bagi yang mempunyai simpanan di Tabung Haji, KWSP atau ASB akan lebih mudah untuk memahaminya kerana secara asas konsepnya adalah sama. Iaitu wang pelabur akan dikumpulkan di dalam satu dana dan kemudian akan dilaburkan oleh pihak pengurusan dana tersebut ke pelbagai kelas aset seperti equity (saham), fixed income, hartanah dan sebagainya.

 

Keuntungan dari pelaburan itu kemudian akan dibahagikan sesama para pelabur. Caranya berbeza iaitu Tabung Haji, KWSP atau ASB adalah secara aliran tunai iaitu dividen dan bonus. ASB sendiri adalah unit amanah juga namun kategori harga tetap. Manakala kebanyakan unit trust yang lain adalah kategori harga berubah dan keuntungan adalah secara kenaikan harga. Sebahagian ada juga yang memberi dividen namun biasanya prestasi pulangan adalah mengambil kira dividen yang dilabur semula dan tidak diambil.

 

2. Tetapkan Matlamat Pelaburan

 

Kemudian seperti mana-mana simpanan dan pelaburan, kita tetapkanlah matlamatnya. Sebagai contoh:

 

  1. Simpanan persaraan
  2. Dana pendidikan dan perkahwinan anak
  3. Dana ibadah haji

 

3. Kenalpasti Profil Risiko

 

Seterusnya adalah kenalpasti profil risiko kita. Kategori unit amanah secara asasnya terbahagi kepada Bond dan Money Market (risiko dan pulangan rendah), Balanced dan Mixed Asset (risiko dan pulangan sederhana) dan Equity (risiko dan pulangan tinggi). Jadi dengan mengetahui profil risiko kita, kita dapat kenalpasti dengan lebih baik kategori unit amanah mana yang lebih sesuai dengan kita.

 

 

Profil risiko ini adalah panduan yang baik untuk membantu kita, namun masih terpulang kepada kita untuk membuat keputusan memilih kategori mana yang kita mahu. Yang penting adalah kita telah membuat keputusan dengan termaklum.

 

4. Pilih Unit Amanah Yang Bagus

 

Apabila memilih unit trust, sudah tentu kita mahukan yang mempunyai prestasi yang terbaik. Ada banyak pilihan dan kriteria yang boleh dibuat. Kriteria utama sudah tentulah yang patuh syariah. Kemudian pemilihan dan perbandingan boleh dibuat dengan menggunakan website badan profesional penyelidikan berkecuali seperti Novagni, Morningstar dan Lipper. Penting juga merujuk Prospektus dana tersebut beserta dokumen lain seperti Product Highlight Sheet, Fund Fact Sheet dan lain-lain.

 

Patuh Syariah

 

Boleh semak di “List of Unit Trust Funds” di website Suruhanjaya Sekuriti. Dana unit amanah yang patuh syariah ada tanda * Shariah Fund.

 

 

Novagni

 

Bagi yang mempunyai akaun KWSP, Novagni adalah pihak ketiga yang digunakan KWSP untuk membantu ahlinya dalam memilih unit amanah. Apabila kita login ke i-Akaun KWSP kita, kita boleh menyemak jumlah pengeluaran pelaburan yang boleh dibuat dari akaun 1 kita ke dalam unit amanah yang telah diluluskan. Jumlah mininum pengeluaran pelaburan adalah RM1,000 dan boleh dibuat setiap 3 bulan selepas tarikh pelaburan sebelumnya:

 

Unit Amanah - KWSP 1
Klik ke “Pengeluaran” > “Kalkulator” > “Pelaburan”

 

Kemudian, kita klik ke Portal Informasi Skim Pelaburan Ahli dan ianya akan membawa kita ke Portal Novagni. Di menu pilihan unit amanah, kita  boleh masukkan unit trust mengikut kategori profil risiko kita. Sebagai contoh untuk kategori Equity, kita boleh memasukkan dana Eastspring Investment Dana Al-Ilham:

 

Unit Amanah - KWSP 2
Klik ke “Laman Utama” > “Portal Informasi Skim Pelaburan Ahli” > “Terima” > “Click Checkbox” > “Agree” > “Please select a fund: Eastspring Investments Dana al-Ilham” > “Go”

 

Sudah tentu apabila kita ingin membuat pengeluaran pelaburan dari KWSP, kita inginkan pulangan yang melebihi pulangan purata tahunan KWSP iaitu sekitar 6%. Jadi kita boleh susunkan senarai unit amanah itu mengikut pulangan tahunan (annualised) untuk tempoh terpanjang iaitu 5 tahun:

 

Unit Amanah - KWSP 3
Klik ke “Jenis Pulangan: Tahunan” > “5 Tahun (%)” *screenshot 13 Ogos 2016

 

Nilainya bagi kesemua 1, 3 dan 5 tahun, dan pilih prestasi pulangan yang melebihi KWSP atau benchmark kita yang lain. Perlu diingatkan prestasi dahulu tidak menjamin prestasi akan datang, namun ianya satu faktor juga yang menunjukkan dana tersebut konsisten dan diuruskan dengan baik. Semak juga maklumat-maklumat lain tentang dana-dana tersebut seperti carta, maklumat dana dan pengagihan.

 

Morningstar

 

Bagi yang tiada akaun KWSP atau ada namun ingin menambah lagi rujukan, satu lagi website badan penyelidik unit trust ialah Morningstar. Kelebihannya ialah ia ada data prestasi bukan sahaja untuk 5 tahun tetapi juga 10 tahun. Di bahagian Category, kita boleh pilih unit trust mengikut kategori syariah dan juga profil risiko kita. Jika ingin membandingkan semua kategori, boleh juga terus klik ke “Search”. Kemudian susun mengikut tempoh terpanjang iaitu 10 Year Annualised Return untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang pulangannya. Status patuh syariah bolehlah semak di link Suruhanjaya Sekuriti di atas.

 

Unit Amanah - Morningstar
Klik “Search” > “Performance” > “10 Year Annualised (MYR,%)” *screenshot 22 Ogos 2016

 

Seperti Novagni juga, sebaiknya pilihlah prestasi pulangan yang lebih tinggi dari benchmark kita dan nilainya dari kesemua 1, 3, 5 dan 10 tahun. Boleh klik juga ke mana-mana unit trust pilihan kita untuk melihat lebih banyak maklumat, seperti Morningstar Rating, benchmark mengikut kalendar dan lain-lain. Bagus juga bandingkannya dengan benchmark KWSP, Tabung Haji dan ASB.

 

Unit Amanah - Benchmark
Pulangan kalendar mengatasi benchmark kategori dan KWSP bagi setiap tahun, indeks bagi setiap tahun kecuali 2009-2010 serta Tabung Haji dan ASB bagi setiap tahun kecuali 2014

 

Perbandingan prestasi pulangan annualised boleh dibuat menggunakan TVM Calculator. Sebagai contoh, 13% berbanding KWSP 6%. Jumlah mininum pengeluaran pelaburan KWSP RM1,000 setiap 3 bulan, jadi setahun = RM1,000 x 4 kali = RM4,000 selama 25 tahun. Bagi unit amanah jumlahnya akan menjadi = RM4,000 / (1+3% service fee + (3% x 6% GST) ) = RM3,876.72.

 

Unit Amanah - TVM
Sememangnya unit amanah yang bagus berpotensi memberi pulangan yang berkali ganda

 

Lipper

 

Website badan penyelidik ketiga yang kita boleh gunakan ialah Lipper. Kelebihan Lipper ialah ianya membuat penilaian berdasarkan Total Return, Consistent Return dan Preservation. Jadi dana-dana unit amanah yang telah dipilih melalui Novagni atau Morningstar tadi kita boleh lihat pula prestasinya dalam ketiga-tiga aspek tersebut.

 

Unit Amanah - Lipper
Klik ke ” Fund Screener” > “Universe: Malaysia” > “Asset Type: Equity” > “Classification: Equity Malaysia” > “Select a time period: Overall” > “Total Return: 4 or Better” > “Consistent Return: 4 or Better” > “Preservation: 4 or Better” > “Display Funds”

 

Seperti contoh di atas dalam kategori Equity, Eastspring Investments Dana al-Ilham mendapat overall markah penuh 5 untuk Total Return, Consistent Return serta markah 4 untuk Preservation.

 

Prospektus dan Dokumen Rasmi

 

Prospektus adalah dokumen lengkap rasmi tentang sesuatu dana dan ianya boleh didapati dari website syarikat pengurusan dana tersebut sendiri. Ianya mengandungi segala maklumat terkini tentang dana tersebut seperti prestasi dana, pihak pengurusannya, yurannnya dan lain-lain. Jadi sememangnya ia penting dan sudah tentu perlu dibaca di samping maklumat-maklumat dari pihak-pihak ketiga di atas.

 

Unit Amanah - Prospektus

 

Selain prospektus, boleh rujuk juga dokumen-dokumen rasmi lain seperti Product Highlight Sheet, Fund Fact Sheet dan laporan-laporannya.

 

5. Labur Berstrategi dan Pantau

 

Ringgit Cost Averaging

 

Setelah memilih dana yang terbaik, boleh mulakan pelaburan unit amanah ini secara berstrategi. Oleh kerana terdapat turun naik harga lebih-lebih lagi bagi dana kategori ekuiti, jadi hendak timing dengan tepat untuk membeli pada harga rendah adalah sukar. Jadi kaedah Ringgit Cost Averaging boleh dilakukan. Contohnya, jika kita hendak labur secara Lump Sum RM10,000 adalah digalakkan untuk pecahkannya kepada jumlah-jumlah yang lebih kecil seperti ±RM800 sebulan selama 12 bulan agar kita boleh mendapat kos harga purata.

 

Unit Amanah - Ringgit Cost Averaging
Walaupun kita tidak mendapat kos harga terendah, namun kaedah ini masih membantu kita agar tidak mendapat kos harga tertinggi pula

 

Bagi pengeluaran pelaburan KWSP, secara asasnya ianya telah pun mengamalkan strategi ini melalui syarat-syarat yang telah ditetapkannya. Begitu juga jika membuat pelaburan secara Regular Saving.

 

Portfolio Diversification

 

Strategi ini adalah mempelbagaikan pelaburan kita agar tidak hanya bergantung kepada 1 sahaja. Jika kesemua wang kita hanya dilaburkan di 1 tempat sahaja, ia amat berisiko kerana apabila prestasinya tidak baik atau lebih teruk lagi rugi, kita sudah tidak ada backup lain.

 

Secara asasnya, unit amanah sudah pun mengamalkan strategi diversification ini dengan membuat pembahagian aset ke pelbagai kategori dan syarikat.

 

Unit Amanah - Diversification
Contoh pembahagian aset oleh unit amanah

 

Namun jika ingin lebih mengurangkan risiko, bolehlah menambahkan lagi level diversification. Terdapat banyak cara dan di antaranya:

 

  1. Diversification pada level kategori unit amanah, contohnya seorang pelabur berprofil risiko agresif boleh membuat portfolio 75% unit amanah kategori Equity manakala 25% lagi kategori Bond dan Money Market
  2. Diversification pada level KWSP, secara asasnya syarat-syarat pengeluaran pelaburan KWSP telahpun mengamalkan strategi ini. Jika dibuat pengeluaran secara maksimum, dana persaraan kita masih sekitar 60% di dalam KWSP yang boleh dikira sebagai kategori Mixed Asset dan 40% lagi di unit amanah yang kebiasaannya kategori Equity dipilih
  3. Diversification pada level keseluruhan aset, sebagai contoh seseorang pelabur boleh membuat pembahagian asetnya kepada 25% hartanah, 25% perniagaan, 25% emas dan 25% lagi unit amanah

 

Jadi boleh pilih strategi mengikut penilaian masing-masing dan pandangan kami, jika terlebih diversification boleh backlash juga dan menjadikan strategi ini kurang optimum dari segi pulangan.

 

Pemantauan

 

Seterusnya monitoring perlu dilakukan dari masa ke semasa. Melalui kami, boleh monitornya dari akaun online FAME (Financial Acess Made Easy) melalui komputer atau smartphone. ROI Calculator juga digunakan untuk menilai Compound Annual ROI-nya (annualised). Seperti KWSP, Tabung Haji dan ASB bolehlah pantau prestasinya secara tahunan.

 

 

Jadi sekiranya semasa pemantauan ada masalah prestasi kerapkali di bawah benchmark, pengurus dana baru yang tidak perform atau lain-lain, kita boleh memilih alternatif-alternatif seperti switching kepada dana yang lain, mengubahsuai portfolio kita dan sebagainya.

 

6. Realisasikan Keuntungan

 

Setelah membuat pemantauan secara berkala, prestasi pelaburan bagus dan akhirnya nilai pelaburan kita telah mencapai matlamatnya, tibalah masa untuk menjual unit-unit amanah kita tersebut agar keuntungannya yang sebelum ini unrealised menjadi realised.

 

====

 

Kongsikan pandangan dan pengalaman anda juga di dalam pelaburan unit amanah. Berminat untuk membuat pelaburan unit amanah seperti di atas melalui KWSP atau secara tunai, boleh isi Analisis Profil Risiko & Proposal Portfolio Pelaburan ini.