Apakah Pelaburan Yang Terbaik?

Soalan yang kerap bermain di fikiran di kala kos hidup yang makin tinggi dan inflasi yang makin menghakis nilai wang kita. RM50 pada masa dahulu dapat membeli pelbagai barangan, namun adakah ia dapat membeli amaun yang sama pada masa sekarang? Oleh itu, pertamanya pelaburan adalah untuk melindungi nilai pendapatan dan aset kita dari semakin terhakis dan berkurang nilainya.

 

Namun adakah mencukupi dengan hanya sekadar mendapat pulangan yang menyamai purata kadar inflasi 3.7% yang biasanya boleh dicapai dengan hanya menyimpan di akaun fixed deposit? Sudah tentu kita inginkan pulangan yang lebih tinggi dan bukan hanya pulang modal sahaja. Jadi keduanya, pelaburan adalah untuk menambahkan lagi nilai pendapatan dan aset kita.

 

Di negara kita, kita bersyukur kerana adanya medium pelaburan yang berisiko rendah namun memberi pulangan lebih tinggi dari fixed deposit seperti ASB dan Tabung Haji iaitu lebih kurang 8% (sebelum tolakan zakat 2.5%). Bab perbezaan pandangan dalam hukum ASB sudah dikupas di post yang lain dan tidak disentuh di sini. Jadi selain benchmark 8% tersebut, apakah medium pelaburan-pelaburan lain yang ada dan dapat memberi pulangan yang bagus juga?

 

Kelas-Kelas Aset Pelaburan

 

Menurut sifu kewangan Robert Kiyosaki, pada asasnya pelaburan dapat dibahagikan kepada 4 kelas aset utama iaitu hartanah, kertas, perniagaan dan komoditi. 4 kelas aset utama ini pula terdapat banyak kategori lagi di bawahnya, contohnya hartanah ada rumah, tanah dan sebagainya. Kelas aset kertas ada saham, unit amanah seperti ASB, dan lain-lain.

 

Komoditi pula termasuklah hasil bumi seperti minyak dan logam berharga seperti emas dan perak. Perniagaan pula sama ada berasaskan produk atau servis, dan terdapat pelbagai bidang yang boleh diceburi. Jadi, antara kelas-kelas aset tersebut, manakah yang paling bijak dan menguntungkan?

 

Matlamat dan Strategi Pelaburan

 

Jawapannya adalah bergantung pada matlamat dan strategi khusus kita masing-masing. Strategi pelaburan pada asasnya ada 2 iaitu aliran tunai dan peningkatan nilai. Matlamat pelaburan pula pada asasnya adalah untuk meningkatkan pendapatan pasif dan portfolio melalui strategi aliran tunai dan meningkatkan aset melalui strategi peningkatan nilai.

 

Jadi matlamat dan strategi asas tersebut berkait rapat antara satu sama lain. Ianya dapat digambarkan dengan lebih jelas melalui penyata kewangan Robert Kiyosaki yang terbahagi kepada bahagian Pendapatan, Perbelanjaan, Aset, Liabiliti dan Analisis seperti berikut:

 

Pelaburan Terbaik - Penyata Kewangan

 

Pada bahagian Analisis, soalan “Does Your Money Work For You?” biasanya menjadi matlamat utama iaitu:

 

(Pendapatan pasif + portfolio) / (Jumlah pendapatan atau perbelanjaan) = % ?

 

Apabila pendapatan pasif dan portfolio tersebut sudah mencapai 100% jumlah pendapatan atau perbelanjaan kita, maka kita sudah bebas kewangan dan sudah boleh bersara. Jadi berpandukan formula tersebut, kita boleh memilih mana-mana kelas aset pelaburan yang bersesuaian untuk mencapat matlamat di atas.

 

Strategi Aliran Tunai

 

Pengurusan kewangan - penyata pendapatan
* interest boleh diremove kerana tidak patuh syariah

 

Katakan jumlah pendapatan atau perbelanjaan kita ialah RM3,000/bulan. Untuk mencapai 100% bebas kewangan, kita boleh pilih strategi aliran tunai sama ada:

 

  • fokus kepada 1 kelas aset, contohnya aliran tunai (sewa – bayaran bank) sebulan dari menyewakan rumah = RM300/rumah. Jadi untuk mendapat RM3,000/bulan, perlu menyewakan 10 biji rumah.

 

  • atau diversify melalui kombinasi kelas aset, contohnya:
    • aliran tunai dari menyewakan 2 biji rumah = RM900/bulan (pembiayaan bank selesai)
    • aliran tunai dari perniagaan = RM1,100/bulan (gaji + elaun)
    • aliran tunai dari dividen saham/unit amanah = RM12k/setahun atau RM1,000/bulan
    • Jumlah = RM3,000/bulan

 

Strategi Peningkatan Nilai

 

Secara umum, ianya adalah membeli mana-mana kelas aset pada harga yang lebih rendah dan kemudian menjualnya apabila harganya telah lebih tinggi. Contohnya:

 

Beli rumah, saham/unit amanah, emas atau perniagaan pada tahun ini berharga = RM100k

Jual pada 5 tahun kemudian = RM200k

Pulangan* = (RM200k-RM100k) / RM100k / 5 tahun = 20% setahun

*kiraan mudah simple annual ROI tanpa kos-kos lain

 

Kemudian, kita boleh update peningkatan nilai aset tersebut di balance sheet kita:

 

Pengurusan kewangan - kunci kira-kira

 

Setelah itu kita boleh gunakan RM200k tersebut untuk mendapat contoh strategi aliran tunai tadi:

 

  • RM40k deposit untuk beli 2 biji rumah untuk mendapat aliran tunai dari penyewaan = RM900/bulan
  • RM10k untuk besarkan lagi perniagaan untuk mendapat aliran tunai = RM1,100/bulan
  • RM150k beli saham/unit amanah untuk mendapat aliran tunai dari dividen 8% = RM12k/setahun atau RM1,000/bulan

 

Pelaburan Yang Terbaik

 

Jawapan kedua kepada soalan ini adalah seperti yang dipetik oleh sifu pelaburan tersohor, Warren Buffet:

 

Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan kepada diri sendiri

 

Ianya kerana dengan pelaburan ilmulah kita dapat memaksimumkan pulangan dan meminimumkan risiko kerugian dalam apa jua kelas aset pelaburan. Kami ada senarai buku-buku pelaburan terbaik untuk meningkatkan lagi ilmu pelaburan kita, di samping dapat memaksimumkan pelepasan cukai kita juga di bahagian shop kami.

 

Kesimpulannya, semua kelas aset pelaburan berpotensi untuk menjadi yang terbaik dan paling menguntungkan. Ianya bergantung kepada cara kita gunakannya sebagai pelabur yang bijak.

 

Anda ada tips-tips pelaburan tambahan? Boleh kongsikannya di ruangan komen di bawah ini. Jika berminat untuk bermula dengan pelaburan unit amanah dengan modal rendah dan prestasi pulangan bagus, boleh isi Analisis Profil Risiko & Proposal Portfolio Pelaburan ini.