Bagaimana Pengurusan Kewangan Yang Berkesan?

Adakah anda ingin mencari penyelesaian masalah kewangan anda atau ingin mengetahui cara untuk mempertingkatkannya? Jika ya, maka pertama sekali yang perlu dilakukan ialah menyemak semula perkara paling asas iaitu pengurusan kewangan anda.

 

Kepentingan pengurusan kewangan peribadi adalah untuk memastikan kita dapat mengawal segala pendapatan, perbelanjaan, harta dan hutang kita. Cara perancangan kewangan yang berkesan dan bijak ialah dengan menggunakan Penyata Kewangan (Financial Statement). Penyata kewangan ini terdiri pula dari Penyata Pendapatan (Income Statement) dan Penyata Imbangan (Balance Sheet).

 

Antara format penyata kewangan yang baik ialah yang dihasilkan oleh sifu Robert Kiyosaki yang lengkap dengan analisis kewangan. Ianya dalam file Excel jadi boleh terus diisi dan digunakan selepas mendowloadnya. Boleh dapatkannya di website beliau di bahagian personal finance calculator.

 

Penyata Pendapatan

 

Pendapatan

 

Pengurusan kewangan - penyata pendapatan
* interest boleh diremove kerana tidak patuh syariah

 

Pertama sekali kita perlulah mengisi ruang Income. Kebiasannya, kita hanya mempunyai 1 punca pendapatan sahaja iaitu pekerjaan seharian kita atau Earned Income – Earned #1.

 

Namun, penyata pendapatan Robert Kiyosaki ini menekankan bahawa kita perlu mempelbagaikan sumber pendapatan kita, atau dengan kata lain ‘multiple streams of incomes’. Jadi kita haruslah berusaha untuk mengisi juga ruangan Earned #2 dan seterusnya.

 

Selain Earned Income, kita haruslah berusaha juga menambahkan Passive dan Portfolio Income kita. Kedua-dua jenis pendapatan ini adalah melalui pelaburan. Menurut Robert Kiyosaki, terdapat 4 kelas aset pelaburan iaitu pelaburan kertas seperti saham, pelaburan komoditi seperti emas, pelaburan hartanah dan juga pelaburan perniagaan.

 

Perbelanjaan

 

Pengurusan kewangan - penyata perbelanjaan

 

Setelah mengisi ruang Income, kita isi pula ruang Expenses iaitu segala perbelanjaan kita. Perbelanjaan pertama yang perlu kita tambahkan ialah tabung simpanan iaitu sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan kita.

 

Ianya tiada di penyata di atas. Namun, adalah lebih baik untuk menyimpan dahulu barulah berbelanja, daripada sebaliknya. Jadi, bolehlah tambahkannya sendiri.

 

Pendapatan – Simpanan = Perbelanjaan

 

Tabung simpanan tersebut mempunyai 2 matlamat iaitu:

 

  1. Memenuhi tabung kecemasan sekurang-kurangnya 3x perbelanjaan kita
  2. Memenuhi pula tabung persaraan dan bebas kewangan kita

 

Sebaik-baiknya lakukan  serentak dengan mewujudkan kedua-dua tabung tersebut agar lebih cepat mencapai matlamat kedua-duanya. Jika kurang mampu, sekurang-kurangnya lakukan satu per satu iaitu capai simpanan kecemasan dahulu kemudian teruskan pula dengan simpanan persaraan.

 

Ingin ditekankan di sini juga bahawa tabung kecemasan hanyalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang tiada cara lain untuk diatasi dan tidak dapat diduga seperti kehilangan pekerjaan melalui retrenchment. Jadi kita masih akan mampu menyara hidup selama sekurang-kurangnya 3 bulan sementara mencari pekerjaan baru.

 

Adapun perbelanjaan-perbelanjaan kecemasan yang dapat dilindungi oleh takaful, jadi perlulah ditambahkan caruman takaful siap-siap. Perbelanjaan-perbelanjaan besar yang dapat diduga pula perlulah dibuat tabungnya sendiri juga dan ditambahkan sekali seperti:

 

  1. Tabung servis (caruman mengikut jadual servis) dan roadtax, takaful kereta (caruman 12 bulan)
  2. Tabung ibadah korban (caruman 12 bulan)
  3. Tabung ibadah zakat pendapatan (caruman 12 bulan)
  4. Tabung ibadah haji (caruman tahun pilihan – tahun daftar)
  5. Tabung perbelanjaan raya (caruman 12 bulan)
  6. Tabung kelahiran (caruman 9 bulan), pendidikan IPT (caruman 18 tahun) dan perkahwinan anak (caruman anggaran 25 tahun)
  7. Tabung perbelanjaan besar yang lain

 

Setelah ditambahkan, bahagian perbelanjaan kita akan kelihatan seperti berikut:

 

Pengurusan kewangan - perbelanjaan tabung

 

Boleh simpankan semuanya di Tabung Haji yang purata bonusnya dalam 6%. Tabung Haji kini boleh di-akses melalui Maybank, Bank Islam dan Bank Rakyat, jadi mudah untuk kita aksesnya apabila sudah tiba masanya menggunakan tabung-tabung tersebut.

 

Kemudian barulah tinggal perbelanjaan bulanan kita yang biasa-biasa. Penting juga untuk kita rekodkan segala perbelanjaan kita dengan terperinci agar bajet kita menggambarkan situasi kewangan kita yang sebenarnya. Ini dapat di’track’ sama ada dengan menyimpan resit-resit perbelanjaan kita atau boleh juga menggunakan apps seperti Expense Manager.

 

Pengurusan kewangan - expense manager

 

Setelah selesai mengisinya, lihat bahagian Net Monthly Cash Flow di bawahnya. Jika ada lebihan, tahniah! Sebagai tambahan, jika ada cashback dari kad kredit bagi yang berdisiplin atau dari Shopback, boleh masukkan kedua-dua lebihan dan cashback tadi ke dalam tabung simpanan untuk mempercepatkan lagi matlamat simpanan kita.

 

Jadi, setelah mengisi kedua-dua ruang pendapatan dan perbelanjaan tersebut, kita dapat mengetahui aliran tunai atau cash flow kita. Kita perlulah memastikan ianya positif dan semakin meningkat. Ini dapat dicapai dengan meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan dan yang terbaik, kedua-duanya sekali.

 

Penyata Imbangan

 

Pengurusan kewangan - kunci kira-kira

 

Setelah kita selesai mengisi penyata pendapatan kita, kita isi pula penyata imbangan yang terdiri dari bahagian aset dan liabiliti. Matlamat kita adalah untuk mencapai net worth positif iaitu harta melebihi hutang dan semakin meningkat.

 

Menurut Robert Kiyosaki, rumah dan kenderaan yang kita sendiri tinggal dan guna adalah doodads dan bukanlah sebenarnya aset. Ini kerana takrifan beliau, aset adalah sesuatu yang menjana pendapatan kita, sebaliknya liabiliti adalah sesuatu yang menjadi perbelanjaan kita.

 

Jadi, kita dapat lihat sendiri dalam penyata pendapatan kita di atas, sebenarnya rumah dan kereta kita sendiri akan masuk dalam bahagian perbelanjaan. Sebaliknya, jika rumah itu kita sewakan kepada orang lain barulah akan menjadi aset kerana akan masuk bahagian pendapatan iaitu pendapatan pasif. Begitu juga kereta jika menyewakannya atau menyertai Uber misalnya, ia juga dapat menjadi bahagian pendapatan.

 

Oleh itu, adalah lebih efektif untuk kita merujuk jumlah net worth per Rich Dad.

 

Analisis Kewangan

 

Pengurusan kewangan - analisis kewangan

 

Kelebihan penyata kewangan Robert Kiyosaki ialah terdapat bahagian analisis beserta panduan benchmark. Jadi, kita dapat terus mengetahui keadaan kewangan kita dan matlamat yang perlu dicapai.

 

Analisis ‘Does Your Money Work For You?’ agar mencapai 100% dari pendapatan adalah kunci kepada persaraan selesa dan bebas kewangan. Boleh juga tukarkannya kepada 100% dari perbelanjaan. Analisis ‘How Much Goes to Housing?’ pula menekankan bahawa kita sebaiknya memastikan jumlah kos rumah kita berada di bawah 33% dari pendapatan kita.

 

Benchmark lain yang bagus juga ialah pastikan jumlah hutang-hutang kita tidak melebihi 30% dari pendapatan kita. Nilai ini kemudian akan digunakan untuk menentukan benchmark pendapatan persaraan kita iaitu 70% daripada pendapatan terakhir. Anggarannya ialah semasa bersara, 30% hutang tadi sudah habis dibayar dan tiada lagi.

 

Untuk rumah, benchmark sifu Pakdi juga baik untuk digunakan iaitu 3x pendapatan tahunan. Maksudnya jika pendapatan kita ialah RM2,000/bulan, kita carilah rumah yang berharga RM2,000 x 12 bulan x 3 tahun = RM72,000. Dengan menggunakan Home Loan Calculator dan anggaran downpayment 10%, 35 tahun dan kadar 4.25%, installmentnya akan berjumlah ±RM290/bulan, iaitu 15% dari pendapatan.

 

Untuk kereta pula, benchmark beliau ialah 1x pendapatan tahunan. Dengan contoh pendapatan sama di atas, kereta yang perlu dicari ialah RM2,000 x 12 bulan = RM24,000. Dengan menggunakan Car Loan Calculator  di atas, anggaran downpayment 10%, 9 tahun dan kadar 4%, installmentnya berjumlah ±RM270/bulan, iaitu 14% dari pendapatan.

 

Jadi dalam contoh di atas, jumlah kedua-dua hutang rumah dan kereta ialah 15% + 14% = 29% dari pendapatan, iaitu hampir dengan maksimum 30%. Tindakan yang lebih bijak sudah tentulah rumah dan kereta tadi digunakan sebagai pelaburan contohnya disewakan yang akan menambahkan lagi pendapatan kita dan membolehkan kita mengulangi lagi kiraan nisbah pendapatan di atas dan membelinya dengan lebih banyak.

 

Akhir sekali, setelah kita membuat pengurusan kewangan bulanan kita menggunakan penyata kewangan di atas, kita perlulah bertindak untuk sentiasa memperbaiki keadaan kewangan kita. Panduan telah diberikan, hanya tinggal usaha kita sahaja.

 

Setelah mempunyai rekod penyata kewangan, kita dapat membandingkan penyata kita sekarang berbanding dengan yang sebelum-sebelumnya dan dapatlah dibuat perancangan untuk semakin mencantikkannya.

 

Anda ada tips pengurusan kewangan tambahan? Kongsikannya di bawah ini. Dapatkan juga bacaan lanjut buku DIY360 Mengurus Wang yang membawa satu sistem kewangan lengkap dan menyeluruh dalam satu modul pengurusan minda dan pelan untuk mencapai kebebasan kewangan.