Cara Simpan Duit Yang Efektif

Kita semua tahu yang amalan menyimpan dan menabung adalah penting dalam pengurusan kewangan. Bak kata pepatah ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’. Namun, ramai yang kecundang dan putus asa dalam hal ini. Jadi kami kongsikan cara menyimpan duit yang efektif untuk diamalkan:

 

Tetapkan Matlamat

 

Yang pertama adalah tetapkan untuk tujuan apa kita hendak menyimpan. Seperti yang telah diterangkan di post tentang Penyata Kewangan, matlamat-matlamat asas adalah seperti contoh di bawah. Boleh tambahkan lagi mengikut kesesuaian masing-masing.

 

Kita ambil contoh sekali lagi Ali yang berpendapatan RM3,000. Jadi setelah ditolak KWSP, pendapatan bersihnya akan menjadi RM2,670. Matlamat kewangannya dibahagikan kepada jangka pendek, sederhana dan panjang:

 

Jangka Pendek (<12 bulan):

1. Simpanan roadtax, takaful kereta: RM610 / 12 bulan = RM51 sebulan

2. Simpanan servis kereta: RM167 sebulan

3. Simpanan zakat pendapatan: RM486 / 12 bulan = RM40.50sebulan

  1. Simpanan ibadah korban: RM550 / 12 bulan = RM46 sebulan

 

Jangka Sederhana (1-3 tahun):

  1. Simpanan kecemasan: RM2,607.88 (jumlah perbelanjaan) x 3 bulan = RM7,823.65

 

Jangka Panjang (>3 tahun):

  1. Simpanan Haji: RM9,980 / 29 tahun (tahun peruntukan- tahun daftar) = RM29 sebulan (minimum)

  2. Simpanan persaraan: RM388,000 (kaedah modal dikekalkan)

 

Untuk lebih memudahkan, Ali membuat matlamat-matlamat tersebut dalam bentuk jadual seperti berikut:

 

Cara simpan duit - jadual matlamat 0 bulan

 

Jadi Ali dapat sentiasa merujuk jadual tersebut untuk mengetahui progress dan baki tempoh setiap matlamat simpanan. Ali memilih untuk menyimpan 10% dari pendapatannya untuk mencapai simpanan kecemasannya dahulu, kemudian barulah memulakan simpanan persaraan atau pelaburannya.

 

Masukkan Di Penyata Perbelanjaan

 

Setelah Ali mengetahui berapa dia perlu menyimpan setiap bulan, dia memasukkannya ke dalam penyata kewangannya di bahagian perbelanjaan. Jadi ianya akan kelihatan seperti berikut:

 

Cara simpan duit - penyata perbelanjaan

 

Jadi dengan cara ini dia dapat “simpan dahulu, baru berbelanja”. Dia telah mengasingkan siap-siap perbelanjaan untuk simpanan-simpanannya itu tadi.

 

Asingkan Simpanan Di Akaun Lain

 

Setelah Ali mendapat gaji, dia akan mendisiplinkan dirinya untuk mengikut perbelanjaan di penyata kewangannya di atas. Bagi matlamat jangka pendek dan sederhana iaitu di bawah 3 tahun, dia akan mengasingkan simpanan-simpanannya dengan transfer online banking ke dalam akaun Tabung Haji agar ianya tidak terguna secara “tidak sengaja”. Tabung Haji satu pilihan yang bagus kerana ada bonus purata 6%. Jadi apabila dia mendapat bonus tersebut, dia boleh tambahkan lagi ke dalam simpanannya agar lebih cepat tercapai.

 

Manakala bagi matlamat jangka panjang iaitu yang melebihi 5 tahun, dia akan simpan dan laburkannya di tempat yang berpulangan dan berisiko lebih tinggi seperti di unit amanah patuh syariah yang mempunyai track record pulangan yang baik.

 

Simpan Rekod

 

Dari masa ke semasa, dia akan update jadualnya itu agar tahu progressnya dan berapa baki tempoh lagi untuk mencapai matlamatnya. Semua resit online bank transfernya akan dia save di Dropbox agar mudah untuk dia merujuknya pada bila-bila masa.

 

Selepas 1 bulan, jadualnya akan kelihatan seperti berikut:

 

Cara simpan duit - jadual matlamat 1 bulan

 

Alhamdulilah, Ali menjadi lebih bersemangat untuk lebih banyak menyimpan lagi apabila dia melihat usahanya telah ada hasil.

 

Ada Baki Perbelanjaan?

 

Pada hujung bulan, Ali merujuk semula penyata perbelanjaannya di atas dan membandingkannya dengan baki sebenar. Oleh kerana Ali seorang yang berdisiplin, perbelanjaan sebenarnya adalah sama dengan penyata kewangannya dan bakinya juga sama iaitu positif RM62.12.

 

Jadi Ali memasukkan baki tersebut ke dalam simpanannya agar lebih cepat tercapai. Keutamaan Ali ialah simpanan kecemasannya, jadi untuk matlamat tersebut simpanan bulanannya telah meningkat menjadi RM267 x RM62.12 = RM329.12:

 

Cara simpan duit - jadual matlamat 1 bulan + baki

 

Dapat Bonus, Dividen, Cashback atau Wang Hadiah?

 

Alhamdulillah pada bulan ke-8, Ali telah mendapat bonus sebanyak 2 bulan gajinya iaitu RM6,000. Setelah ditolak KWSP ianya akan menjadi bersih RM5,340. Jadi dia tambahkan kesemuanya ke dalam simpanan kecemasannya! Hasilnya pada bulan tersebut ialah:

 

Cara simpan duit - jadual matlamat 8 bulan

 

Selain itu, jika dia mendapat dividen dari Tabung Haji, wang hadiah dari pertandingan dan cashback dari kad kredit dan Shopback, dia akan tambahkannya juga ke dalam simpanan-simpanan tersebut agar lebih cepat matlamatnya tercapai.

 

Tahniah!

 

Alhamdulillah, salah satu matlamat kewangannya iaitu simpanan kecemasannya telah tercapai! Malah lebih awal dari tempoh asal 2.4 tahun kepada hanya 8 bulan dengan langkah-langkah di atas. Kini Ali dapat memulakan simpanan persaraan atau pelaburannya pula. Baki perbelanjaannya RM62.12 tadi akan dimasukkan ke dalam simpanan hajinya pula.

 

===

 

Itulah cara simpan duit yang efektif yang telah Ali amalkan. Dan ianya boleh diamalkan oleh kita semua juga. Dengan langkah-langkah di atas, matlamat dan tindakan kita akan menjadi lebih jelas untuk tercapai. Begitulah yang telah dilakukan Ali. Untuk kita pula, boleh ubahsuai mengikut matlamat kewangan kita masing-masing.

 

Apa matlamat kewangan yang telah anda ubah dan utamakan? Boleh kongsikannya di bawah. Jika berminat dengan lebih lanjut untuk membuat simpanan dan pelaburan untuk mencapai matlamat jangka panjang melalui unit amanah patuh syariah di atas atau yang lain, boleh isi Analisis Profil Risiko & Proposal Portfolio Pelaburan ini.