Panduan Mengira Simpanan Persaraan Yang Mencukupi

Persaraan - facebook KWSP

Topik menarik yang dibangkitkan di Facebook KWSP di atas. Kami bersetuju bahawa kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada simpanan KWSP sahaja untuk persaraan kita. Kita perlulah membuat perancangan untuk mencukupkan simpanan persaraan tersebut. Jadi, bagaimana untuk melakukannya?

Kira Anggaran Jumlah Boleh Disimpan

Pertama sekali, kita kira dahulu berapa jumlah simpanan yang dapat kita buat. Untuk contoh mudah, kita ambil kebiasaan seorang pekerja yang mencarum KWSP, jadi kita boleh menggunakan Kalkulator Simpanan KWSP seperti berikut:

Persaraan - kalkulator KWSP

Dalam contoh di atas, setelah ditolak zakat KWSP, baki akhirnya ialah lebih kurang RM904 ribu.

Kira Matlamat Pendapatan Persaraan

Kemudian, kita kira pula berapa yang kita perlukan sewaktu persaraan:

  1. Kaedah pertama yang dapat diguna ialah 70% dari anggaran pendapatan terakhir kita kerana 30% daripadanya dianggarkan adalah hutang-hutang kita yang telah diselesaikan sewaktu persaraan. Kerana itu penting untuk kita hadkan hutang-hutang kita 30% ke bawah. Dalam contoh di atas: RM8,644 x 70% = ± RM6,000 sebulan @ RM72,000 setahun
  2. Kaedah kedua yang dapat diguna ialah buat anggaran guna Time Value of Money (TVM) Calculator. Boleh pilih sama ada mahu combine dengan konsep 70% seperti di atas atau tidak. Namun dalam contoh di bawah kami ambil 100% kerana sudah agak rendah jumlahnya: RM2,000 (present value) @ 20 yrs (period) 3.7% (inflation rate) = ±RM4,200 sebulan @ RM50,400 setahun

Boleh tetapkan jumlah lain juga, terpulang kepada matlamat masing-masing. Sudah tentu mengambil nilai yang lebih besar lebih selamat, namun lebih mencabar jugalah untuk mencapainya. Apa pun kaedah, perlulah revise dari semasa ke semasa kerana ia tidaklah tetap, terutamanya setelah kita berkeluarga dan makin bertambah perbelanjaan.

Kira Baki Diperlukan

Setelah itu, dapatlah kita mengira baki simpanan persaraan yang diperlukan. Terdapat 2 kaedah utama iaitu:

Kaedah Modal Digunakan

Kaedah ini mengambil kira jangka hayat persaraan. Seperti status KWSP di atas, anggarannya ialah 75 – 55 = 20 tahun.

Kemudian, kita gunakan TVM Calculator untuk kira jumlah simpanan yang diperlukan untuk menampung jangka hayat persaraan selama 20 tahun tersebut. Sebagai contoh, setelah dikeluarkan, kita akan meletakkan simpanan KWSP tersebut di akaun berdividen seperti ASB, Tabung Haji atau kekalkan sahaja di KWSP untuk melawan inflasi:

Payment = RM72,000 setahun

Period = 20 tahun

Annual rate % = anggaran 6% – 3.7% (purata inflasi) = 2.3%

Future value = 0

Present value = ?

Persaraan - TVM calculator

Jadi jumlah yang diperlukan ialah ± RM1.1 juta. Dari itu, kita dapat tahu jumlah simpanan KWSP yang perlu ditop up lagi ialah sebanyak RM1.1 juta – RM904 ribu = RM196 ribu. Di sinilah pentingnya kita membuat simpanan sendiri, rule of thumbnya minimum 10% dari pendapatan. Juga pengeluaran pelaburan KWSP juga boleh dilakukan untuk meningkatkan pulangan dan simpanan tersebut.

Apabila telah mencukupi setelah umur 55 tahun, bolehlah mengambil RM6,000 sebulan @ RM72,000 setahun dari simpanan tersebut. Kelebihan kaedah ini ialah modal yang lebih rendah diperlukan, namun kekurangannya pula ialah seperti namanya, sekiranya jangka hayat persaraan sebenar kita melebihi 20 tahun, maka simpanan persaraan kita akan kehabisan.

Kaedah Modal Dikekalkan

Di dalam penyata kewangan kita, terdapat bahagian pendapatan pasif dan portfolio yang merupakan pendapatan melalui pelaburan. Menurut Robert Kiyosaki, terdapat 4 kelas aset pelaburan iaitu pelaburan kertas seperti saham dan unit amanah, pelaburan komoditi seperti emas, pelaburan hartanah dan juga perniagaan.

Pendapatan Pasif & Portfolio
* Interest boleh di”remove” kerana tidak patuh syariah

Contoh: Pelaburan kertas berdividen = Tabung Haji, ASB, KWSP

Annual rate % = anggaran 6% – 3.7 (kadar inflasi) = 2.3%

Simpanan diperlukan x 2.3% = RM72,000 setahun

Simpanan diperlukan = ±RM3.1 juta

Jadi jumlah yang diperlukan ialah ± RM3.1 juta. Dari itu, kita dapat tahu jumlah simpanan KWSP yang perlu ditop up lagi ialah sebanyak RM3.1 juta – RM904 ribu = RM2.2 juta. Sama seperti sebelum ini, top up tersebut boleh datang dari simpanan sendiri yang dibuat dan juga pengeluaran pelaburan KWSP.

Seperti kaedah modal digunakan juga, apabila telah mencukupi, bolehlah mengambil RM6,000 sebulan @ RM72,000 setahun dari dividen tersebut. Terbalik daripada kaedah pertama di atas, kekurangan kaedah ini ialah modal yang diperlukan lebih besar pada annual rate yang sama, namun kelebihannya ialah ianya tidak mengambil kira sebarang jangka hayat, jadi ianya tidak kehabisan.

Selain pelaburan aset kelas kertas, pelaburan hartanah juga dapat mencapai contoh matlamat persaraan di atas jika ianya mencukupi untuk memberi jumlah pulangan amaun untung sewa RM6,000 sebulan juga. Begitu juga pelaburan perniagaan jika ianya dapat menjana pendapatan pasif berjumlah sama.

Ketiga-tiga contoh ringkas di atas jika kita mahu fokus kepada satu jenis pelaburan sahaja. Kita juga boleh diversify dengan membuat kombinasi pelaburan-pelaburan tersebut untuk mendapatkan jumlah yang sama. Kelebihan pendapatan pasif dan portfolio ini juga ialah modal kita kekal tidak terusik dan dapat diwariskan sebagai harta pusaka.

Namun harus juga diingat, perlulah mendalami dahulu ilmu tentang pelaburan-pelaburan tersebut. Boleh pelajarinya dengan lebih mendalam melalui buku-buku pelaburan di bahagian Shop. Apabila simpanan persaraan kita telah mencukupi tanpa kehabisan dan kita dapat meneruskan kehidupan tanpa bekerja lagi, itulah juga yang dinamakan kebebasan kewangan.

Berminat untuk maksimumkan potensi simpanan persaraan dengan pelaburan unit amanah melalui KWSP atau secara tunai, boleh baca 6 Tips Pelaburan Unit Amanah.

Dapatkan tips kewangan terkini

Invalid email address
88 subscribers